Wednesday, 30 January 2013

KEBERSIHAN DALAM IBADAH


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG.

       Bersyukur ke hadrat Ilahi,diberi kesempatan oleh ALLAH untuk kami menyiapkan tugasan Pendidikan Islam ini.Tujuan kami mewujudkan laman ilmu ini adalah untuk berkongsi sedikit sebanyak tentang ilmu yang ALLAH turunkan di muka bumi ini untuk hamba-hambaNYA.Terima kasih kepada guru pendidikan islam kami iaitu Ustazah Salwa Binti Ahmad,pensyarah Kolej Matrikulasi Kedah kerana memberi kami idea untuk mewujudkan laman ilmu ini dan memberi kami ruang untuk kami menyampaikan dakwah Islamiah.Ahli kumpulan kami terdiri daripada Nur Fatin Binti Ghazali,Nor Amalina Binti Ramli,Umi Nurnabilah Binti Osman dan Nur Atirah Binti Md Nor.Tajuk kami ialah kebersihan dalam ibadah.


         IBADAH DAN KEBERSIHAN

  Kebersihan adalah satu aspek penting dalam ibadah.Hal ini disebabkan dalam Islam berkait rapat dengan iman seseorang.Justeru,dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Muslim,Rasulullah bersabda"Kebersihan adalah separuh daripada iman"
Dalam Surah al-Baqarah ayat 22,ALLAH menjelaskan"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan mereka membersihkan diri".Berhubung dengan ayat ini,Said Hawa dalam al-Asas fi al-Tafsir berkata (Allah menyukai) mereka yang bertaubat daripada dosa berulang-ulang kali dan mereka yang membersihkan dirinya daripada kekotoran dan kekejian ataupun membersihkan dirinya dengan menggunakan air kurniaan ALLAH."

Setiap kitab fikah bermula dengan bab Taharah bermaksud bersuci.Air adalah agen utama dalam membersihkan sesuatu.Dalam islam air yang sah digunakan bagi bersuci dikenali sebagai air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan.Air yang sedikit dimasuki najis serta air yang berubah sifatnya(warna,bau,rasa) tidak boleh digunakan untuk bersuci.(bustanul akhbar mukhtasar nailul authar)

Umat islam diwajibkan membersihkan badan,pakaian dan tempat tinggalnya daripada kotoran dan najis.Mengikut Bukhari,Muslim dan Ahmad,Asma bin Abu Bakar penah bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan perkara yang patut dilakukan sekiranya pakaian seseorang terkena darah haid.Nabi SAW menjawab"Kutiplah ia kemudian gosoklah ia dengan air dan kemudian bilaslah ia dan selepas itu bersolatlah menggunakan kain itu".Begitulah terperincinya Nabi SAW dalam hal kebersihan.

Contoh yang lain adalah yang berkaitan dengan kebersihan ialah produk yang diperbuat daripada kulit binatang yang sering digunakan oleh umat Islam,seperti tali pinggang.Hal ini juga dihalusi oleh agama Islam.berhubung dengan ini Muslim,Ahmad,Ibnu Majah dan Tirmizi meriwayatkan Abdullah Bin Abbas berkata,"Aku mendengar nabi SAW bersabda,"setiap kulit yang disamak maka sesungguhnya ia menjadi suci"Di dalam kitab Bustanul Akhbar Mukhtasar Nailul Authar dinyatakan menyamak kulit bermaksud membersihkan kulit itu daripada kotoran dan najis sebelum digunakan.

Di samping itu,Islam juga mengajar umatnya berkenaan aspek pembuangan najis kerana pembuangan yang tidak betul mendatangkan pelbagai wabak dan penyakit.Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad,Nabi SAW bersabda "Takutlah kamu dengan dua perkara yang terkutuk,iaitu membuang najis di lorong-lorong yang digunakan manusia dan di tempat mereka berteduh."

Semua ini dalil yang menunjukkan Islam bukan sekadar mementingkan kebersihan tetapi lebih daripada itu.Islam memperincikan lagi bagaimana kebersihan itu perlu dijaga.

Rahsia kebersihan: Dunia hari ini mengesahkan betapa pentingnya kebersihan dijaga pada semua peringkat.90 peratus daripada kematian di dunia yang berpunca daripada penyakit disebabkan oleh beberapa penyakit antaranya HIV/AIDS,cirit birit,batuk kering,malaria dan campak.Statistik ini dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun 2004.Kebanyakan daripada penyakit-penyakit ini terutamanya cirit-birit,dapat dicegah melalui penjagaan kebersihan diri dan makan minum secara betul di samping memastikan cara pembuangan najis dilakukan mengikut prosedur yang betul.Hal ini dilaporkan oleh Global Health Council.Semua ini menunjukkan betapa relevannya ajaran Islam bagi manusia hari ini.Islam mengajar kita tanpa kebersihan akan tergadailah pengabdian.

KEBERSIHAN DIRI DAN ISLAM

Salah satu aspek kebersihan yang dituntut ke atas umat Islam adalah menjaga kebersihan diri(personal hygiene) Berhubung dengan ini Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud "Lima daripada fitrah(perintah agama) iaitu memotong bulu kemaluan,berkhatan,mencukur misai,mencabut bulu ketiak dan memotong kuku."

Memotong bulu kemaluan,mencukur misai dan mencabut bulu ketiak mencegah seseorang daripada diserang kuman,antaranya sejenis kutu yang dikenali sebagai Phthirus pubis.Ia boleh menyebabkan gatal-gatal kulit dan sekiranya dibiarkan,ia boleh menyebabkan infeksi kuman.

Kebersihan kuku juga perlu dijaga keran ia adalah sebahagian daripada kebersihan diri.Kuku manusia memanjang sebanyak 0.1 milimeter sehari.Di dalam artikel Nails:How to keep your fingernails healthy and strong di Mayoclinic.com,antara cara yang perlu dilakukan secara rutin bagi menjaga kesihatan kuku adalah tidak menggigit sebaliknya memotongnya dengan cara yang betul.

Berkhatan juga baik untuk kesihatan.Hal ini dipersetujui oleh ramai pakar,antaranya Dr. Eagar J.Schoen.Beliau pernah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Berhubung Khatan di Amerika pada tahun 1993 dan pernah menjawat jawatan sebagai sebagai seorang Profesor Perubatan Kanak-kanak di University California di San Francisco.Kajiannya menunjukkan tanpa khatan,bahagian bawah kulit zakar menjadi tempat takungan pelbagai jenis kuman dan ini meningkatkan risiko mendapat infeksi.kadangkala keadaan ini boleh mengeluarkan bau busuk yang tidak menyenangkan.Kajian di Amerika sejak tahun 1932 mendapati,mereka yang menghidap barah zakar hampir kesemuanya adalah daripada kalangan mereka yang tidak berkhatan.

Lihatlah semua kajian yang dilakukan telah membuktikan bahawa ALLAH sangat menyayangi hambaNYA.
Di samping itu,umat Islam disuruh supaya menguruskan rambut mereka dengan baik.Abu Daud meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud,"Sesiapa yang dikurniakan rambut,peliharalah ia dengan baik."

Kesihatan dan kebersihan gigi tidak diabaikan oleh Islam.Daripada Muslim,Nabi SAW bersabda"Jika tidak menyusahkan umatku,aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat isya' dan bersugi (menggosok)gigi setiap kali mereka hendak solat.Nabi menggosok gigi paling kurang dua kali sehari.Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Omar,"Nabi bersiwak (menggosok gigi) pada permulaan siang dan akhirnya."Walau bagaimanapun,secara kebiasaannya,Nabi SAW menggosok gigi berulang-ulang kali setiap hari.Amir bin Rabiah melaporkan,"Aku melihat Nabi SAW menggosok gigi berulang kali sehingga aku tidak mampu menghitung jumlahnya ketika baginda sedang berpuasa".Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad,Abu Daud dan Tirmizi bertaraf hasan.

KEBERSIHAN YANG DIWAJIBKAN

Islam mementingkan kebersihan sehinggakan sebahagian daripadanya wajib dilaksanakan oleh umat Islam secara rutin.Contohnya badan umat Islam wajib dibersihkan daripada najis apatah lagi sekiranya hendak menunaikan solat.Setiap solat dianggap tidak sah sekiranya ia dilakukan dalam keadaan najis masih melekat di badan.

Umat Islam juga diwajibkan bersuci dengan melaksanakan wuduk sebelum bersolat.Semasa  berwuduk tangan dibasuh.Di dunia ini mungkin tidak ditemui satu golongan yang paling rajin membasuh tangan selain daripada umat Islam.Secara umumnya umat Islam membasuh tangan kerana berwuduk paling kurang lima kali sehari semasa hendak melakukan solat.
Umat Islam juga membasuh tangan sebelum dan selepas menjamah makanan.berhubung dengan ini ,Tirmizi dan Abu Daud meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud "keberkatan makanan terletak pada amlan berwuduk(iaitu membasuh tangan)sebelum dan selepas menjamahnya"

Dalam artikel Our Health is in Our Hands,yang dilaporkan di laman web Food and Nutrition Research Institute,Manila,dinyatakan langkah pencegahan daripada jangkitan kuman yang paling penting hari ini adalah kerap membasuh tangan secara sempurna setiap hari.
Mandi dan kebersihan tidak dapat dipisahkan.Di dalam dunia ini tiada agama yang menjadikan mandi sebagai salah satu ibadah yang penting bagi mendekatkan diri kepada ALLAH kecuali agama Islam.Pada masa-masa tertentu,antaranya selepas melakukan hubungan suami isteri,umat Islam diwajibkan mandi.Mandi ini dikenali sebagai mandi wajib.Mandi wajib juga disebabkan air mani yang keluar.

Bagi kaum wanita mereka diwajibkan mandi selepas suci daripada haid dan nifas.Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud "Apabila haid tiba maka tinggalkanlah solat dan apabila selesai (daripada haid)maka mandilah dan solatlah."
Islam sangat indah.Selain daripada melaksanakan mandi wajib,umat Islam disunatkan mandi pada hari-hari tertentu antaranya,mandi pada hari Jumaat,mandi pada hari raya puasa dan haji,mandi menjelang ihram sebelum melaksanakan ibadah haji dan umrah,mandi bagi orang kafir yang baru memeluk islam.Begitulah penekanan dalam Islam dalam aspek kebersihan.

KERELEVENAN MANDI WAJIB

Penyucian dalam Islam adalah ibadah.Mandi wajib adalah satu cara untuk penyucian diri daripada berhadas besar.Mandi ini tidak boleh disamakan dengan mandi-mandi yang lain kerana kewajipannya perlu dilaksanakan dengan cara atau kaifiat yang tertentu.Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud "Apabila bertemu kemaluan dengan kemaluan,wajiblah mandi".Hadis ini diriwayatkan oleh Tirmizi.Dalam sebuah riwayat lain oleh Muslim dan Ahmad,Nabi SAW menambah"Walaupun jika tdak mengeluarkan air mani
'
Mandi ini mestilah meratai seluruh badan dari hujung kepala hingga hujung kaki dan bermula dengan niat.Di samping itu,tidak boleh ada tampalan ataupun pemisah antara air dan kulit semasa mandi itu dilakukan kecuali dalam keadaan terpaksa.Inilah antara syarat yang mesti dilaksanakan semasa mandi wajib.Justeru,ia bukan mandi biasa.

Sekiranya mandi wajib hendak ditangguhkan selepas melakukan hubungan suami isteri,sekurang-kurangnya pembasuhan anggota kelamin perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum tidur.Hal ini berdasarkan kenyataan Aisyah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud,"Apabila Nabi Muhammad hendak tidur dalam keadaan berjunub,baginda mencuci kemaluan dan berwuduk seperti berwuduknya seseorang untuk solat.

Ajaran ini relevan pada hari ini kerana pakar-pakar perubatan sebagai contoh,dari The Institute for Technology in Health Care,Washington di cacareshealthgroup.com menyatakan bagi mencegah penyakit jangkitan seksual daripada merebak,hubungan seks perlulah dilakukan hanya dengan mereka yang dipercayai dan tidak dilakukan secara rambang atau bebas.Di samping itu,menjaga kebersihan diri sebelum dan selepas mengadakan hubungan seperti segera membasuh anggota sulit selepas persetubuhan adalah
penting.Malah pakar-pakar ini manggalakkan seseorang mandi secara sempurna selepas persetubuhan dilakukan sebagai langkah pencegahan daripada serangan penyakit jangkitan seksual.Hal yang lebih kurang sama juga dinyatakan oleh pakar-pakar American Academy of Family Physicians di familydoctor.org.

Di samping penyakit jangkitan seksual,kajian menunjukkan wanita juga mudah mendapat jangkitan saluran kencing.Salah satu pencegahan daripada jangkitan ini ialah membasuh kawasan faraj sebelum dan selepas persetubuhan.

Bagi golongan lelaki,balanitis atau jangkitan kepala zakar mudah menjangkiti mereka yang tidak berkhatan ataupun yang tidak membasuh kawasan sulitnya selepas persetubuhan.Antara kuman yang boleh menyebabkan jangkitan ini adalah sejenis kulat yang dikenali candida albicans.



KEWAJIPAN BERWUDUK

Di samping mandi wajib umat Islam juga dituntut supaya melaksanakan wuduk terutamanya bagi bersolat.Seperti mandi wajib,cara seseorang berwuduk mestilah mengikut cara yang ditetapkan oleh agama.


Secara dasarnya,berwuduk bermaksud menyucikan anggota-anggota badan dengan menggunakan air yang bersih mengikut tatacara yang ditetapkan syariat.ALLAH berfirman di dalam Surah Al-Maidah ayat 6 yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman,apabila kamu hendak mengerjakan solat(padahal kamu berhadas kecil) maka berwuduklah,iaitu basuhlah muka kamu,kedua belah tangan kamu hingga ke siku,sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua-dua belah kaki kamu hingga ke buku lali."

Selain daripada anggota-anggota yang wajib ini,terdapat juga anggota-anggota yang lain yang sunat dibasuh semasa berwuduk.Dalam sebuah hadis yang sahih,Humran melaporkan,"Uthman bin Affan meminta supaya (dibawa kepadanya)air bagi mengambil wuduk.(Mula-mulanya) dia membasuh tapak tangannya tiga kali,kemudian dia berkumur-kumur dan menyedut air ke dalam hidung serta menghembuskannya.Kemudian dia membasuh mukanya tiga kali,membasuh tangan kanannya tiga kali dan tangan kirinya (seperti itu juga).Kemudian dia menyapu sedikit daripada kepalanya diikuti dengan membasuh kaki kanannya meliputi buku lali tiga kali dan seterusnya membasuh kaki kirinya (seperti itu juga).Selepas itu dia (Uthman bin Affan) berkata,"Aku melihat Rasulullah SAW berwuduk seperti wudukku ini."Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.Hadis ini menceritakan berkenaan cara berwuduk yang sempurna sebaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW.

Di samping itu,semasa berwuduk,anggota-anggota badan yang berkenaan hendaklah diusap dan digosok dengan tangan.Antara hadis yang menjelaskan berkenaan perkara ini adalah sabda nabi yang direkodkan oleh Ahmad,Ibnu Majah dan Tirmizi yang bermaksud ,"Apabila kamu berwuduk maka gosoklah antara jari tanganmu dan kakimu."

WUDUK DAN SAINS

Berwuduk mempunyai rahsianya yang tersendiri terutamanya di sudut kesihatan.Dalam artikel bertajuk Muslims Rituals and their effect on the Person's Health (Ibadah muslim dan kesannya terhadap kesihatan seseorang) oleh Dr. Magomed Magomedov di Akademi Perubatan Daghestan State,dilaporkan bahawa berwuduk meransang pusingan biologi manusiadengan meransang kawasan-kawasn tertentu yang dikenali sebagai kawasan aktif biologi.Menurut beliau,bangsa Cina banyak mengkaji ilmu sains refleksologi dan mereka menyakini jika kawasan aktif biologi diransang ia akan meransang sistem saraf dalam badan sekaligus memberi kesan yang positif terhadap kesihatan seseorang.

Mengikut ilmu perubatan China,badan manusia mempunyai lebih kurang 700 kawasan aktif biologi dan 66 daripadanya memberi kesan positif yang segera sekiranya diransang.Daripada 66 ini 61 daripadanya berada di kawasan wuduk utama orang-orang Islam.Lima lagi berada di kawasan antara buku lali dan lutut iaitu kawasan yang disunatkan berwuduk.Berhubung dengan kawasan yang khusus(antara buku lali dan lutut) ini,Muslim meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud,"Sesiapa yang mampu antara kamu maka hendaklah memanjangkan ghurrah dan tahjeelnya.

Ghurrah bermaksud membasuh muka melebihi kawasan muka yang biasa dan tahjeel bermaksud membasuh tangan melebihi kawasan siku dan membasuh kaki melebihi kawasan buku lali iaitu antara buku lali dan lutut.Tafsiran ini disebut kan di dalam Bustanul Akhbar Mukhtasar Nailul Authar terjemahan A.Qadir Hassan,Mu'ammal Hamidy,Drs Imron Am dan Umar Fanany B.A.(Pustaka Bina Ilmu,Surabaya).

Oleh itu,di samping berwuduk merupakan salah satu ibadah dalam Islam,ia juga mengandungi penawar yang mampu mencegah daripada pelbagai penyakit.
Seterusnya Dr.Magomed Magomedov berkata,apabila seseorang menyentuh mukanya semasa berwuduk,ia meransang saraf bagi memberi kekuatan baru kepada organ-organ seperti usus,perut,pundi kencing dan sistem peranakan serta saraf.Apabila kaki kanan dibasuh dan digosok,ia meransang sistem saraf bagi memperelokkan sistem tulang,usus,pankreas,hempedu,tiroid(thyroid) dan kawasan pinggang.Apabila kaki kiri dibasuh dan digosok,saraf berperanan untuk memperelokkan kelenjar pituitary dan kawasan otak yang mengawal sistem endokrin.

Di samping itu,mengikut Mukhtar Salem,dalam buku beliau bertajuk prayers:A sport for soul and body (The Arab Modern Center,Cairo,1990),berwuduk mencegah seseorang daripada mendapat kanser kerana mengikut kajian semasa,salah satu punca kanser adalah bahan kimia yang melekat pada kulit badan seseorang kesan daripada pencemaran yang berlaku pada hari ini.Pembasuhan badan melalui wuduk membersihkan badan daripada pencemaran ini.

Berhubung dengan memasukkan air ke dalam hidung semasa berwuduk,mengikut kajian yang dilakukan oleh para doktor dari Universiti Alexandria,perbuatan ini mencuci rongga hidung daripada kuman dan kotoran yang melekat pada bulu hidung.Hal ini dilaporkan oleh Lamya Taufik dalam The Preventive and Healing Wonders of Ablution di dalam IslamOnline.net bertarikh 30 April 2003.

Tambahan daripada itu,perbuatan berkumur semasa berwuduk membersihkan mulut daripada sisa-sisa makanan yang melekat di celah gigi ditambah pula dengan galakan Nabi SAW supaya bersiwak (menggosok gigi)semasa berwuduk.Dari Abu Hurairah r.a,Nabi SAW telah bersabda,"kalau tidak menyusahkan umatku,akan aku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk."(riwayat Ahmad).Mengikut Malaysia Healthcare Guide terbitan tahun 1997,antara cara terbaik untuk mencegah kerosakan gigi ialah menggosok gigi selepas makan ataupun paling kurang dengan berkumur.

WUDUK DAN MEMBASUH TANGAN

Membasuh tangan adalah antara perbuatan yang diulangi ketika berwuduk.Ia dilakukan sebanyak tiga kali pada peringkat permulaan dan tiga kali di peringkat pertengahan wuduk.Pada bulan Februari tahun 2003,dunia dikejutkan dengan serangan wabak SARS yang berpunca daripada kuman virus yang dikenali sebagai coronavirus (SARS-CoV).Kesan wabak ini seperti demam panas,pening,sakit anggota badan dan akhirnya pesakit meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),lebih kurang 8098 orang dijangkiti virus ini di seluruh dunia dan daripada jumlah ini 774 orang meniggal dunia.Mengikut pakar-pakar,salah satu cara yang perlu dilakukan bagi mencegah merebaknya wabak ini adalah kerap membasuh tangan.Mengikut Dr.Julie Geberding,pengarah Disease Control and Prevention (CDC),Amerika,'pembasuhan tangan merupakan satu-satunya langkah untuk mencegah kuman dari merebak'.

Tabiat kerap membasuh tangan secara sempurna mampu menyelamatkan lebih kurang satu juta kanak-kanak kerana terdapat dua jenis penyakit yang kerap membunuh kanak-kanak iaitu,cirit-birit dan radang paru-paru.Melalui pembasuhan tangan,penyakit ini dapat dicegah daripada merebak.(Medical News Today Online-Handwashing could save one million children's lives each year,2004)

Kesimpulan

Berdasarkan semua kajian yang dibuat membuktikan Islam menyeluruh dari segala aspek.Dari sekecil-kecil benda ke sebesar-besar benda.Dan setiap apa yang Islam titikberatkan pasti ada kelebihan dan hikmahnya.ALLAH tidak akan jadikan segala sesuatu untuk sia-sia,pasti ada sebab dan hikmahnya.Begitu juga dengan kebersihan dalam beribadah.Terbukti kasih sayang ALLAH kepada kita daripada segala hikmah yang kita dapat di atas.Oleh itu,marilah sama-sama kita bermujahadah dan memperbaiki aqidah kita, ibadah kita,akhlak kita,pergaulan kita mengikut cara yang dituntut oleh Islam.Maaf andai kata tersalah bicara,terkasar bahasa.Hanya ini yang kami mampu untuk berkongsi ilmu bagi menyiapkan amanah yang diberi.Syukran Jazilan.
JAZAKUMULLAHU KHAIRAN JAZA'

Rujukan
1)Quran dan Saintifik,meneroka kecemerlangan Quran daripada teropong sains,Dr.Danial Zainal Abidin
2)http://halaqah.net